Mutiara Kata

"Jangan sekali-kali kita meremehkan sesuatu perbuatan baik walaupun hanya sekadar senyuman."

Tuesday, September 1, 2009

Detik Ramadan usah dibiar berlalu dengan sia-sia


BAGAI tetamu istimewa, Ramadan mengunjungi dengan membawa perkhabaran dan jaminan bahawa sesiapa di kalangan hamba Allah melaksanakan segala bentuk ibadat dengan penuh keimanan dan keikhlasan akan memperoleh keampunan, keredaan serta rahmat-Nya.

Ramadan juga membawa nilai penting yang berkemungkinan jarang disedari kebanyakan kita, bahawa ia menjelmakan detik waktu bernilai dan tiada tolok bandingnya berbanding waktu lain.

Keistimewaannya inilah menjadi tradisi bagi sahabat untuk saling mengucapkan tahniah sebaik saja Ramadan menjelma.

Hari ini, ke mana saja melangkah pasti kita mendengar bicara mengenai kemuliaan Ramadan, peristiwa penting berlaku dalam bulan itu di mana dibuka pintu kebaikan dan tertutup pintu kejahatan bagi mereka yang takut akan kemurkaan-Nya.

Bicara itu biar sebanyak mana atau sekerap mana berulang tidak akan bermakna selagi kita tidak dapat merungkai persoalan di manakah kita berada setiap kali Ramadan datang mengunjungi.

Adakah kita sama saja saban tahun setiap kali Ramadan datang dan berlalu pergi? Adakah kita sekadar berpuasa, menahan lapar dan dahaga, berbuka dan bersahur semuanya hanya sebagai menepati piawai asas seorang Muslim?

Atau lebih malang lagi, kita berpuasa semata-mata untuk berbuka dengan menikmati hidangan secara keterlaluan, membiarkan detik Ramadan yang dilimpahi rahmat Ilahi berlalu begitu saja dan menjadi manusia rugi kerana tidak memperoleh sebarang manfaat atau keberkatan dalam bulan istimewa ini.

Berhubung tabiat atau sikap menikmati hidangan berbuka secara berlebihan dan membazir, umum mengetahui bahawa ia bertentangan sama sekali dengan nilai kesederhanaan dianjurkan Islam.

Oleh yang demikian, amatlah memalukan bagi sesiapa saja yang tidak berasa bersalah jika sifat ini menjadi tabiat saban waktu berbuka atau bagi sesiapa menggalakkan dan mengambil keuntungan atas amalan buruk itu.

Ahmad Mustafa al-Maraghiy dalam kitab tafsirnya, Tafsir al-Maraghiy menegaskan makanan serta minuman termasuk perkara asas dalam kehidupan, namun terdapat dua kelompok yang hilang pedoman dalam kedua-dua perkara ini.

Mereka ialah orang yang bakhil dan orang yang keterlaluan dalam beragama. Orang bakhil tidak mahu makan dan minum daripada rezeki yang baik dan enak, manakala orang mewah berlebihan menikmati kelazatan dan menjadikannya asas tumpuannya.

Bagi memastikan kita dapat memanfaatkan setiap detik Ramadan sebaik-baiknya, maka kita digalakkan supaya berdoa agar dikurnia kesihatan serta kekuatan jasmani selain semangat bagi benar-benar menghayati Ramadan.

Ia seperti diriwayatkan oleh al-Imam al-Tirmizi daripada Talhah ibn `Ubaidillah bahawa apabila Nabi SAW melihat bulan sabit, maka Baginda mengucapkan: “Wahai Allah, keluarkanlah bulan sabit itu dengan penuh keberkatan dan keimanan, keselamatan serta kesejahteraan. Tuhanku dan Tuhanmu ialah Allah. Inilah bulan sabit yang membawa petunjuk dan kebaikan.”

Kesihatan dan jasmani yang baik dan kuat akan dapat memastikan kita dapat melaksanakan ibadat puasa dengan penuh tanggungjawab khusyuk, kesungguhan serta ketekunan.

Seperkara yang perlu diberikan perhatian ialah Ramadan dapat membiasakan diri dengan disiplin tinggi, iaitu mengatur waktu dan membahagikan tugas dengan kaedah berkesan lagi bijak.

Misalnya kita mengatur jadual harian dengan menjalankan pelbagai kegiatan dan tanggungjawab serta memastikan kita dapat melaksanakan ibadat digalakkan seperti membaca al-Quran dan solat sunat pada waktu yang ada.

Dengan kata lain, kita dapat memastikan setiap detik berlalu diisi sebaiknya sehingga akhirnya pada setiap saat, kita berjaya melaksanakan tanggungjawab terhadap Allah dan sesama manusia dengan berjaya.

Hakikatnya, penyucian jiwa dan nurani melalui pelbagai bentuk ibadat inilah yang membolehkan kita mencapai tujuan dan matlamat berpuasa, iaitu bertakwa kepada Allah.

1 comment:

Anonymous said...

(^_^)